Laman Utama  ::  Galeri  ::  Forum  ::  Penghargaan  ::  
 



Iklan

Koleksi Laman Web Sejarah Tingkatan 1-6

[ Lihat ]




Kelab Komputer SMK Seri Pantai
  REVOLUSI PERTANIAN DAN REVOLUSI PERINDUSTRIAN  


REVOLUSI PERINDUSTRIAN

Kesan-Kesan Revolusi Perindustrian


Kemajuan dalam Perindustrian dan Pengangkutan
Perubahan juga terlibat dalam bidang perindustrian, seperti industri tekstil, arang dan besi. Permintaan yang tinggi untuk barangan tekstil membawa kepada ciptaan mesin pemintal yang pertama oleh James Hargreaves pada tahun 1764. Mesin pemintal ini dikenali sebagai "Spinning Jenny" Pada tahun 1769, Richard Arkwright telah mencipta mesin tenun pertama yang menggunakan kuasa wap pada tahun 1796. Kemajuan dalam peleburan besi dengan menggunakan arang menghasilkan besi tempa untuk membuat peralatan mesin.

Menjelang akhir abad ke-18, wap digunakan dalam industri untuk mengendalikan jentera. Kaedah baru ditemui untuk membuat besi belum tempa. Siemens menemui kaedah baru untuk menghasilkan keluli yang murah dan cepat daripada besi belum tempa. Bessemer pula menemui kaedah mengurangkan masa yang diperlukan untuk menghasilkan keluli dari besi belum tempa. Semua kemajuan ini memesatkan lagi kemajuan industri England.

Kemajuan dalam pengangkutan pula meliputi perkapalan, jalan raya, kereta api dan terusan. Dalam bidang perkapalan, kapal mula dibina daripada besi menggantikan balak dari Baltik. Dalam pembinaan jalan pula, John Macadam telah memperkenalkan pembinaan daripada batu dan minyak tar. Kemajuan dalam pembinaan jalan raya memudahkan perhubungan antara kawasan yang jauh.

Pada tahun 1761 pula, James Bridley telah membina terusan pertama, iaitu Terusan Worsley yang digunakan untuk membawa arang batu ke bandar perusahaan Manchester. Pada tahun 1801, Richard Trevithick mencipta lokomotif (jentera wap) untuk menarik gerabak. Lokomotif ini kemudiannya dikenali sebagai kepala kereta api dan dipermajukan lagi oleh George Stephenson pada tahun 1825. (Mahdi Shuid dan Muhamad Fauzi Yunus.:2001:124-125).


Penghijrahan Penduduk
Kemajuan infrastruktur juga memudahkan migrasi penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar dan ke kawasan yang maju untuk mencari peluang pekerjaan dan menikmati taraf hidup yang lebih baik. Perkembangan ini secara tidak langsung telah membantu dalam menambahkan penduduk. Kawasan yang mengalami pertambahan penduduk yang pesat berbeza-beza antara satu kawasan yang lain. Kawasan Lancashire, West Riding di Yorkshire, Warwickshire, Nottinghamshire dan Staffordshire mengalami peningkatan yang ketara; (Mathias.:1986:170).

Penghijrahan berlaku di Asia, Hindia Barat dan Afrika. Di Asia, berlaku penghijrahan buruh dari India dan China. Dari Afrika berlaku penghijrahan ke Amerika Utara untuk menghasilkan tanaman kapas. Penghijrahan penduduk juga berlaku di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Pertambahan penduduk di koloni dan negara lain di dunia secara tidak langsung menguntungkan kepesatan perdagangan England; (Porter.:1984:8).


Pertambahan Penduduk
Perubahan juga kelihatan di dalam bidang sosial. Antaranya ialah pertambahan penduduk dengan kadar yang agak pesat. Pertambahan ini disebabkan oleh kemajuan kesihatan dan pengurangan dalam kadar kematian. Di zaman itu juga berlaku penghijrahan buruh. Penghijrahan buruh baik di dalam ataupun di luar negeri adalah satu fenomena baru. Undang-undang 'Penempatan' di bawah sistem merkantilisme tidak membenarkan pekerja meninggalkan sesuatu kawasan di bawah kelolaan Parish tanpa memenuhi syarat-syarat tertentu. Revolusi Perindustrian sebaliknya mengetepikan sistem ini dan secara tidak langsung menamatkan sistem feudalisme yang sekian lama mengongkong mesyarakat Eropah. Pertambahan penduduk pada tahap itu bukan sahaja berlaku di Eropah tetapi juga di negara-negara Asia. Ia sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan dalam ikatan feudal yang sebelumnya tidak menggalakkan penghijrahan.

Pertambahan penduduk ini juga disebabkan oleh penghijrahan penduduk Ireland. Pada tahun 1800, Ireland dan England disatukan di bawah Akta Kesatuan. Penguasaan Ireland merupakan pusat tenunan kapas yang penting bagi menambahkan lagi kekayaan England. Antara tahun 1800 dan 1850, penduduk Great Britain meningkat dua kali ganda. Daripada jumlah kurang daripada 11 juta orang, telah meningkat kepada lebih daripada 21 juta orang. Peningkatan ini disebabkan oleh migrasi dari daerah Scotland dan daerah lain England.

Pada tahun 1851, didapati lebih daripada separuh penduduk Manchester, Glasgow dan Liverpool adalah dari Ireland. Golongan buruh ini memainkan peranan yang besar dalam pembangunan industri tekstil. Mereka bekerja di pelbagai bahagian dalam industri tersebut. Tanpa mereka industri kapas mungkin akan terjejas. Penyatuan dengan Ireland telah menambahkan lagi penduduk England dan menuntut penghijrahan secara besar-besaran. Wilmot-Horton, setiausaha rendah untuk koloni menggalakkan penghijrahan dari Ireland ke England pada tahun 1820-an untuk mengatasi kemurungan yang terdapat di dalam negara. Permulaan penghijrahan ini menandakan bibit-bibit keruntuhan sistem merkantilisme dan permulaan dasar perdagangan bebas. Ini kerana di bawah merkantilisme penghijrahan buruh dan jentera tidak dibenarkan sama sekali.


Perluasan Perdagangan Antarabangsa
Seperti sektor pertanian, penghasilan barangan yang berlebihan dalam sektor pembuatan juga telah membawa kepada keperluan ia dieksport ke luar negeri. Dalam tahun-tahun 1820-an, kilang-kilang kapas Manchester dan Leeds menghasilkan tekstil dalam kuantiti yang tidak dapat diserapkan dalam pasaran tempatan. Eksport kapas dan pakaian dari England meningkat pada kadar 10 peratus setiap tahun antara tahun 1783-1792 dan melebihi 17 peratus antara tahun 1792-1802. Barangan ini mewakili tiga perempat daripada jumlah eksport antara tahun 1795-1805 dan peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kemajuan dalam teknik pengeluaran; (Mathias.:1986:42).

Peningkatan dalam eksport barangan kapas juga meningkatkan import kapas mentah. Sehingga tahun 1770, kadar import adalah 3 juta paun, tetapi menjelang tahun-tahun 1790-an ia meningkat kepada 30 juta paun dan melebihi 50 juta paun pada dekad selepas 1800. Pengeluaran hasil barangan kapas secara besar-besaran ini membawa kepada keperluan mengadakan inovasi. Jika kos pengeluarannya dapat dikurangkan, maka barulah ia dapat dijual dengan harga yang murah di pasaran asing. Kemampuan England untuk menjual barangannya di luar juga bergantung kepada daya beli penduduk koloni dan negara asing. Untuk itu England bertindak memansuhkan tarif import bahan mentah bagi membolehkan negara luar membeli barangan siapnya. Revolusi Perindustrian sesungguhnya telah mendorong kerajaan England menjalankan dasar perdagangan yang lebih liberal. Dalam kesemua barangan yang dihasilkan di zaman revolusi Perindustrian, barangan kapas mendapat perhatian yang khusus di Timur. Ini dapat dilihat dari peningkatan jumlah kain kapas yang dieksport oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris, iaitu dari satu juta ela pada tahun 1814 kepada 56 juta ela pada tahun 1832; (Mathias.:1986:270).

Menjelang pertengahan pertama abad ke-19, perdagangan antarabangsa mula meningkat 20 kali ganda dari segi nilai. Sehubungan dengan itu, penduduk dunia juga bertambah dua kali ganda dan terdapat permintaan tinggi untuk barangan England di luar negeri. Untuk menyaingi persaingan negara lain, England mengamalkan dasar ini adalah hasil keunggulannya dalam revolusi Perindustrian dan kemampuannya menjual barangannya dengan lebih murah berbanding dengan negara lain.


Perubahan Gaya Hidup
Di zaman sebelum Revolusi Perindustrian, kebanyakan penduduk England tinggal di luar bandar dan ikatan tradisi kekeluargaan amat kuat. Gaya hidup mereka juga mudah dan tidak ada usaha untuk mengubah cara hidup tersebut. Perkahwinan di kalangan muda-mudi juga diatur oleh orang tua. Keadaan ini berubah apabila ramai yang mendapat pekerjaan di bandar. Ikatan kekeluargaan mula menjadi longgar. Pekerjaan di Bandar melahirkan gaya hidup yang penuh cabaran. Mereka kini lebih berdikari, sanggup menghadapi risiko dan prestasi pekerjaan mereka mendapat penghargaan. Bakat dan kekayaan menjadi penentu kejayaan dan bukan status keturunan.


Kelas Baru
Revolusi Perindustrian juga menyaksikan kemunculan golongan baru. Masyarakat petani tradisional terdiri daripada satu kumpulan kecil golongan bangsawan dan pemilik tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang dan sekumpulan besar petani. Selepas revolusi Perindustrian, golongan kelas pekerja pertengahan dan individu tumbuh dengan pesat dari segi saiz dan kepentingan. Golongan kelas pertengahan baru termasuk pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli bank, peguam dan jurutera. Golongan kaya memperolehi pendapatan sebanyak yang dicipta oleh golongan bangsawan yang kaya. Dengan bertambahnya kekayaan negara, pendapatan dan kedudukan social kelas pertengahan meningkat dan mereka lebih yakin. Mereka berkeinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan perniagaan baru yang diceburi. Semangat inilah yang menjadikan bidang industri maju dengan pesat.

Kemunculan golongan kelas pertengahan baru ini tidak disertai dengan kuasa politik. Oleh itu, golongan ini mula berjuang untuk mengadakan perwakilan di Parlimen bagi menyuarakan kepentingan mereka. Hasilnya menjelang pertengahan kedua abad ke-18. Palimen Inggeris mempunyai 61 orang ahli Parlimen yang terdiri daripada kelas menengah. Mereka berjaya dalam perjuangan meluluskan akta-akta perdagangan dan ekonomi yang memihak kepada kepentingan mereka. Sebagai contoh, pemansuhan monopoli Syarikat Hindia Timur Inggeris pada 1813, pemansuhan Akta Perantis pada 1814 dan akta yang mensyaratkan penggunaan kulit binatang dalam pembuatan kasut pada 1824. Revolusi Perindustrian juga melahirkan kelas pekerja kilang dan lombong yang sering dikenali sebagai proletariat. Mereka ini terdiri daripada penganggur, pemintal dan penenun. Mesin yang dikerjakan oleh mereka dengan tangan mula diganti dengan mesin kuasa wap yang tidak lagi memerlukan kemahiran. Golongan ini hanya dapat menawarkan tenaga buruh. Oleh itu, pada penghujung abad ke-18 dan ke-19 mereka dibayar amat rendah kerana mesin boleh menjalankan kebanyakan kerja yang sebelum ini dilakukan oleh manusia; (Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan.:2001:338-339).


Pekerja dan Keadaan Kerja di Kilang
Seorang pekerja kilang biasanya bekerja selama 12 jam sehari dan 6 hari setiap minggu. Upah yang dibayar hanya cukup untuk mengisi perut. Para pengusaha kilang lebih suka menggajikan pekerja wanita dan kanak-kanak kerana mereka boleh diberi upah yang rendah. Kanak-kanak biasanya mula bekerja pada usia lima atau enam tahun. Udara dalam kilang dan lombong tercemar dan pekerja terpaksa bekerja mengikut kelancaran mesin. Pekerja didenda dengan kadar yang tinggi jika berehat ataupun ke tandas. Kebanyakan pekerja, khususnya kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin dan terbunuh. Kanak-kanak juga bekerja dalam suasana yang gelap dan berbahaya dalam lombong arang batu.

Golongan pekerja juga tinggal dalam keadaan yang amat teruk. Pengusaha kilang membina sederet rumah kecil dan mengenakan sewa yang tinggi. Tidak ada tandas dan bekalan air. Kawasan penempatan ini kotor, padat dengan penduduk dan penuh dengan pelbagai penyakit seperti taun dan batuk kering. Oleh kerana ramai pekerja yang bekerja lebih masa, lapar dan hidup dalam keadaan seburuk ini, ramai pula yang mati dalam usia yang muda.


Perluasan Revolusi Perindustrian
Revolusi Perindustrian yang bermula di England kemudiannya tersebar ke negara lain di Eropah. Pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19 , iaitu sewaktu Britain mencapai kemajuan ekonomi dan sosial, negara lain di Eropah tertinggal di belakang. Perancis pada waktu itu terlibat dalam revolusi politik Jerman dan Itali belum bersatu dan tidak terdapat satu kerajaan pusat untuk mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk perkembangan industri. Boleh dikatakan hampir semua negara dalam benua eropah terlibat dalan perang Napolean. Tetapi, sebaik sahaja kestabilan diwujudkan di Eropah, negara-negara itu tidak melepaskan peluang untuk turut sama dalam bidang industrialisasi.

Belgium adalah negara pertama menjalankan industrialisasi pada 1810. Ini diikuti pula oleh Perancis padatahun 1840-an dan Jerman pada 1870-an. Amerika Syarikat dan Jerman melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat pada tahun 1870-an. Industrialisasi di Rusia dipercepatkan pada lewat 1890-an.


Perkembangan Idea Ekonomi Baru
Pada zaman sebelum revolusi Perindustrian, khususnya pada abad ke-16 dan ke-17, ukuran kekayaan bergantung kepada jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh sesebuah negara tetapi kini para pemikir ekonomi sedar kekayaan bergantung kepada jumlah barangan dan perkhidmatan yang dapat disediakan. Pada waktu yang sama, disedari kerajaan tidak harus campur tangan dalam perdagangandan industri, tetapi ditentukan oleh hukum permintaan dan penawaran. Inilah teori dasar perdagangan bebas. Ia juga dinamakan liberalisme ekonomi atau ekonomi klasik. Pelopor dasar perdagangan bebas adalah Adam Smith melalui bukunya "The Wealth of Nation" yang diterbitkan pada 1776. beliau memajukan kes yang komprehensif untuk kebebasan perdagangan berasaskan kritikannya terhadap sistem Merkantilisme. Antara kritikannya adalah koloni akan hanya berkembang pesat jika diberi kebebasan untuk menjalankan aktiviti mengikut pilihan sendiri. Menurutnya, tindakan mengawal koloni secara politik akan membebankan negara induk dari segi kewangan.

Hujah utama Smith adalah berasaskan teori faedah mutlak. Faedah mutlak boleh didefinisikan sebagai situasi di mana sebuah negara dengan satu jumlah punca pengeluaran boleh mengeluarkan jumlah barangan yang lebih daripada negara lain yang juga menggunakan punca pengeluaran yang sama. Ada kalanya faedah mutlak juga boleh disebabkan oleh faktor iklim dan juga tanah. Adalah tidak praktikal bagi sesebuah negara menghasilkan sesuatu barangan atau komoditi apabila ia boleh didapati dengan murah di tempat lain.

Bagi Smith, perdagangan bebas menambahkan pendapatan, mengurangkan kos pengeluaran dan membolehkan modal mengalir ke sector pengeluaran yang akan meningkatkan permintaan untuk tenaga buruh. Idea beliau menjadi realiti apabila lebihan barangan kapas Manchester dipasarkan ke India menjelang awal abad ke-19. daerah Manchester mengkhusus dalam pengeluaran kapas dan menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk Ireland.


Perubahan dalam pemikiran politik
Idea sosialisme pada peringkat awal dimajukan pada tahun-tahun 1830-an. Seorang rakyat Perancis, Claude Henri de Saint-Simon adalah pemikir sosialis awal yang penting. Beliau menyeru kerajaan untuk memiliknegarakan semua kilang, merancang perkembangan ekonomi dan memajukan kebajikan masyarakat. Robert Owen (1771-1858) pula adalah pemikir terkenal British yang percaya bahawa sistem kapitalis harus bersifat kemanusiaan dan mencari keuntungan. Beliau membayar upah yang tinggi untuk para pekerja, menyediakan sistem perumahan yang baik untuk pekerja, pendidikan untuk kanak-kanak dan masa kerja yang singkat (10 jam).



:: Kembali Ke Atas ::
 
 
     
Copyright Kelab Komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai