Penilaian Menengah Rendah
Tingkatan 1
  > Sukatan Pelajaran    > Ulasan    > Soalan & Latihan    > Pautan 
Tingkatan 2
  > Sukatan Pelajaran    > Ulasan    > Soalan & Latihan    > Pautan 
Tingkatan 3
  > Sukatan Pelajaran    > Ulasan    > Soalan & Latihan    > Pautan    > Tips PMR 

ULASAN TINGKATAN 1

Terdapat 11 bab dalam sukatan pelajaran Tingkatan Satu. Walaupun nampaknya terdapat banyak bab, namun kita boleh membahagikan keseluruhan bab yang terdapat dalam Tingkatan satu ini kepada empat bahagian.

Bahagian Pertama melibatkan tiga bab terawal iaitu Sejarah dan Kita (Bab 1), Zaman Prasejarah (Bab 2) dan Kerajaan Awal di Asia Tenggara (Bab 3).

Bahagian Kedua pula, saya masukkan empat bab sekaligus iaitu Pengasasan Kesultanan Melayu Melaka (Bab 4), Kegemilangan Melaka (Bab 5), Kemerosotan Melaka(Bab 6) dan Johor Menegakkan Semula Kewibawaan Kesultanan Melayu Melaka (Bab 7).

Bahagian ketiga melibatkan kerajaan negeri-negeri Melayu(Bab 8) , warisan negeri-negeri Melayu (Bab 9) dan berkaitan Sarawak (Bab 10) dan Sabah (Bab 11).

Sekarang marilah kita lihat kandungan yang terdapat dalam sukatan Tingkatan 1.

Dalam bab 1, pelajar diminta memahami pengertian sejarah. Sejarah dikatakan berasal daripada perkataan Arab iaitu syajaratun yang bermaksud pokok atau pohon. Syajaratun juga bermaksud salasilah, riwayat, keturunan dan asal usul. Selain itu dipaparkan tentang pandangan sarjana-sarjana seperti Ibn Khaldun, Herodotus dan Muhd. Yusof Ibrahim tentang makna sejarah. Kita juga dikehendaki mengenalkanpasti cirri-ciri sejarah supaya kita dapat memahami sejarah dengan mudah. Terdapat tiga ciri utama sejarah iaitu fakta yang tepat dan benar, penting dan bermakna , dan yang ketiga ialah sebab dan akibat.Kemudian, pelajar didedahkan dengan sumber sejarah yang terdiri daripada dua jenis iaitu sumber pertama dan sumber kedua. Sumber pertama yang juga dikenali sebagai sumber primer merupakan bahan dalam bentuk fosil, kertas, artifak dan keterangan lisan. Sumber ini belum diolah dan dicetak Sumber kedua atau sumber sekunder terdiri daripada bahan yang dikaji melalui pembacaan bahan bertulis. Bahan ini ditulis oleh sejarawan atau pengkaji sejarah. Sumber kedua seperti buku dan ensaiklopedia telah diolah, dicetak dan disebarkan kepada umum. Selain itu kita juga perlu tahu kaedah pengkajian sejarah yang terdiri daripada tiga cara iaitu kaedah lisan, kaedah bertulis dan kaedah arkeologi. Terdapat kelemahan pada sumber lisan kerana wujudnya unsur tokok tambah yang bercampur dengan unsure dongeng, mitos dan legenda. Tafsiran sejarah antara seorang sejarawan dengan sejarawan yang lain berbeza disebabkan mereka mempunyai pandangan yang berlainan. Justeru, tafsiran sejarah boleh menjadikan sesuatu peristiwa itu bermakna, berfaedah atau sebaliknya. Akhir sekali bab ini meminta kita menyenaraikan kepentingan dan faedah kita mempelajari sejarah.

Bab 2 cukup ringkas kerana kita diminta membandingkan kehidupan masyarakat Zaman Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam. Empat aspek dibicarakan iaitu ciri-ciri penempatan, kegiatan dan peralatan, kepercayaan dan lokasi di Malaysia. Bagaimanapun, saya jika pelajar dapat membezakan ciri-ciri kehidupan masyarakat Zaman Paleolitik dan masyarakat Zaman Neolitik, mereka sudah menguasai bab ini. Masyarakat Paleolitik hidup berpindah-randah, memburu binatang, memungut hasil hutan manakala masyarakat Neolitik sudah mula bercucuk tanam, menternak binatang menjalankan pembahagian kerja.

Bab 3 pula membincangkan tentang kerajaan agrarian dan kerajaan maritim di Asia Tenggara. Perkembangan kerajaan Angkor, Funan, Srivijaya, Kedah Tua Majapahit perlu diambil kira oleh para pelajar.

Bab 4 yang berjudul Pengasasan Kesultanan Melayu Melaka, mengandungi tiga subtopik utama iaitu kedatangan Parameswara, asal-usul nama Melaka dan kegigihan Parameswara membangunkan Kesultanan Melayu Melaka. Parameswara dari kerajaan Palembang cuba membebaskan diri daripada kerajaan Majaphit menyebabkan parameswara terpaksa melarikan diri ke Temasik dan akhirnya membuka Melaka. Nama Melaka diambil sempena nama pokok Melaka mengikut Sejarah Melayu, mengikut nama pokok Amalaka menurut mitos Hindu dan mengikut istilah Arab seperti “mulaqah” dan “malakat”. Langkah-langkah yang diambil oleh Parameswara untuk membangunkan Melaka pula termasuklah menyusun pentadbiran yang teratur, menyediakan kemudahan di pelabuhan, mengadakan hubungan diplomatic dengan China, mendapat bantuan orang laut untuk menjamin keamanan dan kemakmuran Melaka dan kerjasama ikatan konsep daulat.

Saya kira Bab 5 adalah antara bab yang penting dan perlu diberi perhatian oleh pelajar kerana mengandungi banyak maklumat tentang kegemilangan Melaka. Aspek-aspek yang dibincangkan dalam bab ini ialah pentadbiran yang sistematik, pusat perdagangan, kematangan hubungan luar, pusat pengembangan agama Islam, pusat kegiatan ilmu dan perluasan kuasa.

Bab 6 pula membincangkan tentang faktor-faktor yang membawa kemerosotan dan kejatuhan Melaka. Empat faktor dikenalpasti iaitu kelemahan pepemimpinan, masalah perpaduan, kelemahan askar Melaka dan kedatangan Portugis.

Bab 7 pula sebanarnya ada kaitan dengan Melaka kerana kerajaan Johor menegakkan semula kewibawaan Kesultanan Melayu Melaka. Bab ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pengasasan kerajaan Johor, kegemilangan kerajaan Johor dan kemerosotan kerajaan Johor.

Bab 8 membincangkan latar belakang kerajaan Melayu tua iaitu Kedah, Perak dan Pahang serta kerajaan Melayu baru iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. Tiga aspek yang diberi perhatian ialah asal usul nama, pembentukan kerajaan dan keistimewaan dan keunikan.

Bab 9 pula membicarakan empat aspek dalam tajuk berjudul Warisan Kesultanan Melayu ini. Aspek-aspek yang dibincangkan itu termasuklah sistem pemerintahan dan pentadbiran, sistem perundangan, kegiatan ekonomi dan sosiobudaya. Dua bab terakhir iaitu yang berkaitan dengan Sabah dan Sarawak, dua negeri yang terakhir menyertai Malaysia.

Kedua-dua Bab 10 dan Bab 11 ini membincangkan empat aspek iaitu latar belakang sejarah, masyarakat, kegiatan sosiobudaya dan kegiatan ekonomi. Pelajar diminta tidak mengabaikan kedua-dua bab ini kerana kedua-dua negeri juga adalah sebahagian dari Malaysia. Justeru latar belakang dan sejarah kedua-dua negeri ini perlu diketahui.



Sebarang komen dan pertanyaan sila email kepada webmaster : mahdi_shuid@seripantai.com.
© 2005. Mahdi Shuid. Hakcipta Terpelihara.